top of page

Pengeluar bateri China buka kilang pertama Asia Tenggara di Senawang

Pengeluar bateri China buka kilang pertama Asia Tenggara di Senawang
Projek baharu Hunan Yuneng di Senawang dijangka pacu peluang pekerjaan dan kukuhkan ekosistem tenaga bersih negara
Projek baharu Hunan Yuneng di Senawang dijangka pacu peluang pekerjaan dan kukuhkan ekosistem tenaga bersih negara


SEREMBAN: Pengeluar bateri terkemuka China, Hunan Yuneng New Energy Battery Material Co Ltd, mengumumkan penubuhan fasiliti pembuatan pertama di Asia Tenggara menerusi pelaburan strategik di SPD Tech Valley, Senawang.


Kilang serba canggih itu akan memfokuskan kepada pengeluaran bahan katod bateri litium, menjadikan projek ini sebagai pelaburan sulung Hunan Yuneng di Malaysia yang dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, penubuhan kilang itu adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Hunan Yuneng, Invest Negeri Sembilan dan SPD Tech Valley Sdn Bhd, sekali gus mencerminkan usaha berterusan Malaysia membangunkan sektor tenaga bersih.


Beliau berkata MoU ini seiring dengan agenda transformasi perindustrian jangka panjang negara di bawah Pelan Malaysia Ke-13 dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang menekankan aspek kemampanan, inovasi dan teknologi canggih sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.


Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan penglibatan Ketua Pegawai Operasi Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarifon; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hunan Yuneng, Liang Kai; dan Ketua Pegawai Eksekutif SPD Tech Valley, Ten Wee Seong.


Sikh Shamsul berkata, kepakaran teknikal yang dimiliki Hunan Yuneng bersama sokongan tempatan akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai tenaga global.


Sementara itu, Liang menjelaskan bahawa Malaysia berjaya menarik kemasukan syarikat-syarikat China dalam industri bateri tenaga baharu dan fasiliti baharu ini akan menjadi batu loncatan penting bagi Hunan Yuneng dalam pengembangannya ke seluruh Asia Tenggara.


Beliau berkata, penyertaan Hunan Yuneng akan memperkukuh ekosistem bateri tenaga baharu negara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab industri bersepadu serantau. Pautan berita: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/08/1430666/pengeluar-bateri-china-buka-kilang-pertama-asia-tenggara-di-senawang

bottom of page